Pemuda Oria bin Hannan sudah meningkat ke umur remajanya. Badannya sihat. kuat dan segar bugar, baik rupa dan tampannya. Tiada pula kekurangan dalam penghidupannya. Sungguhpun begitu, dia selalu tampak gelisah saja, sering pula dia duduk mengelamun. Tidak lain yang menggoda fikirannya yang menyebabkan dia sering mengelamun itu, ialah cita cita baru yang timbul dalam hatinya, cita cita yang datangnya keras maha dahsyat, iaitu cita cita ingin mempunyai teman hidup. Kenapa hal ini menyebabkan dia gelisah dan mengelamun? Bukankah di kalangan orang sekampung dan bangsanya sendiri banyak gadis gadis yang tidak keberatan berkahwin dengan dia, kalau dia mahu? Yang menyebabkan gelisahnya, bukanlah kerana kekurangan gadis, tetapi adalah kerana banyaknya anak anak gadis itu. Dia menginginkan seorang gadis yang paling cantik dan manis, yang paling menarik hatinya. Menetapkan yang paling cantik dan menarik inilah yang sangat ia susahkan dan inilah yang menyebabkan dia melamun dan gelisah itu. Kegelisahan ini tidak dibiarkannya lama. Dia bangun dari lamunannya, berdiri dan berkata kepada dirinya: Dengan sekadar mengelamun saja, tidak akan menamatkan perjuangan batinku ini. Lebih baik kumulai hari ini juga berjalan dan terus berjalan mencari pemudi yang secocok dengan kehendak hatiku. Siapa tahu, bahawa di sana di bawah lingkaran langit yang biru ini, ada seorang yang dapat memenuhi hasrat hati, yang secocok dengan syarat mutlak yang terguris dalam kalbuku ini. Tidak lama dia berjalan mencari cari itu, dengan takdir Allah, pada suatu hari di sebuah tempat, panah asmara yang tersembur dari matanya sendiri jatuh tertambat di wajah seorang gadis dari kaumnya juga, bernama Sabiq binti Syaik. Dalam pandang pertama yang lamanya hanya sekejap itu, Oria bin Hannan melihat, lalu menimbang, lantas mengusul, akhirnya memutuskan dalam hatinya, bahawa inilah dia gadis yang dicari carinya itu. Memang pilihannya tidak salah lagi. Memang Sabiq adalah seorang gadis yang cantik jelita, termasuk gadis gadis yang mulia di negerinya, tenang dan dalam pula pemikirannya, Yang semua itu, kalau dikirakan akan menambah molek dan jelitanya pula, dengan pandangan lahir, apalagi dengan batin manusia yang melihatnya. Segera dia datang kepada famili gadis itu. Pinangan dan lamarannya disambut dengan tangan terbuka dan dada yang lapang. Perkahwinan antara kedua merpati itu segera berlangsung. Hasrat pemuda kita itu segera terkabul, sehingga dunia yang selama ini gelap dalam pandangannya, menjadi sinar diterangi surya bahagia rumahtangganya. Dalam kedua suami isteri itu sedang hidup dengan asyik dan masyuknya, seakan akan selalu dalam bulan madu, tiba tiba Raja Daud mengumumkan adanya bahaya dari luar. Pemuda pemuda Israel diperintahkan untuk mencatatkan diri menjadi tentera pembela tanahair dan agama, untuk menghadapi perang dan jihad dalam jalan Allah. Berat hati pemuda Oria bin Hannan untuk melangkahkan kakinya ke medan perang, yang mungkin menjadi medan maut di kala dia sedang terpaku di tengah tengah alam bahagiaraya di samping isterinya yang dicintainya itu. Takut dia kalau lama dia tidak dapat pulang, lebih takut lagi kalau dia mati syahid dimedan perang. Bagai manakah isterinya tinggal tanpa dia dan bukankah keduanya sudah begitu asyik, sehingga terpisah sebentar sajapun sampai menguraikan airmata? Tetapi kewajipan terhadap tanahair dan agama, adalah kewajipan yang berdiri atas segala kewajipan. Kewajipan yang harus ditunaikan sekalipun akan menyebabkan membanjirnya airmata dan darah sekalipun. Oria bin Hannan terjunkan dirinya dalam ketenteraan dan terus dikirimkan kemedan perang menghadapi serangan musuh yang kuat. Pertempuran terjadi dan berkobar dengan hebatnya. Pertempuran demi pertempuran, silih berganti tidak ada putus putusnya. Kerana sama sama kuatnya, maka perang itu bukan berjalan dalam satu dua hari saja, tetapi puluhan dan ratusan hari, belum juga berkesudahan. Fikiran Oria bin Hannan sehabis tiap tiap pertempuran yang dihadapinya, selalu terbang melayang kerumah kepada isterinya. Kewajipan dijalankan sebaik baiknya, dengan harapan dan doa yang saban waktu diucapkannya kepada Tuhan, mudah mudahan perang lekas berakhir dengan kemenangan yang gilang gemilang bagi negeri dan agamanya. Tetapi perang tidak kunjung berhenti, malah semakin sengit. Takdir Tuhan menentukan, bahawa pada suatu hari mata Raja Daud, Nabi Yang Mulia ini terpandang kewajah pemudi Sabiq bin Syaik, isteri pemuda Oria bin Hannan, hati Nabi Daud bergetar dibuatnya, ingin mempersunting jelita itu menjadi isterinya pula. Dengan segera Daud mengajukan lamaran pada keluarga Sabiq. Siapakah gerangan yang akan menolak lamaran dari seorang Nabi Yang Mulia, raja yang besar seperti Daud itu? Raja dan Nabi yang terbesar di seluruh dunia di kala itu, apalagi suami Sabiq sendiri sudah lama benar tidak terdengar beritanya, mungkin tewas atau lainnya.* Perkahwinan Nabi Daud dengan Sabiq binti Syaik segera pula terjadi, dengan riang gembira bagi Daud dan keluarga sendiri. Tetapi di sana dibawah ufuk yang tinggi, ada seorang pemuda yang mendengar terjadinya perkahwinan ini, sebagai pukulan yang hebat menimpa dirinya, pukulan yang menghancurkan segala sendi dan urat sarafnya, menembus jantung dan kalbunya. Sejak perkahwinan dengan Sabiq binti Syaik ini, Nabi Daud lebih gembira dalam menjalankan tugasnya sebagai raja dan Nabi Allah. Rencana pekerjaannya ditetapkan dan diatur begitu rupa, sehingga segala galanya berjalan dengan lancar dan baik. Rencana itu ialah dengan membahagi waktunya kepada empat pembahagian. Bahagian pertama untuk kepentingan dirinya sendiri, hari kedua untuk kepentingan kepada Tuhannya, hari ketiga untuk menghukum dan menyelesaikan urusan urusan ummat dan hari yang keempat untuk mengajar dan memimpin rakyat ke jalan yang dikehendaki oleh Allah. Begitulah dijalankan seterusnya oleh Daud. Sebagai raja besar dan Nabi Mulia, rumah Daud selalu dijaga oleh penjaga penjaga dan tentera. Tidak seorang juga dibolehkan masuk menemui Daud, sebelum mendapat izin dari penjaga dan sesudah dibenarkan oleh Daud sendiri dan tidak seorang juga yang diperbolehkan masuk, kalau tidak sepadan dan sesuai dengan rencana pekerjaan yang sudah ditetapkan oleh Daud itu. Di hari dia beribadat, siapa juga tidak diizinkan masuk untuk mengadukan perkara. Begitulah seterusnya, pada suatu hari ada dua orang lelaki yang tidak ada bezanya dengan lelaki lain, minta izin masuk kepada penjaga penjaga itu, untuk bertemu dengan Daud. Setelah aturan itu diterangkan oleh penjaga, tetapi kedua orang lelaki ini mendesak mahu bertemu. Bagaimana juga desakan dan permintaannya ini, tidak dapat dikabulkan oleh penjaga penjaga itu. Tetapi hairan, keadaan yang sangat luar biasa, yang belum pernah terjadi. Dengan keadaan pintu tertutup, tiba tiba kedua orang itu sudah sampai saja di hadapan kamar Nabi Daud, lantas masuk menemui Daud. Memang kedua lelaki itu bukanlah manusia biasa, keduanya Malaikat yang diutus Allah berbentuk manusia untuk mendatangi Daud dan memberikan peringatan dan pengajaran kepada Daud. Alangkah terkejutnya Daud dengan kedatangan kedua tamu itu ke dalam kamarnya sendiri, sedang dia sendiri tidak pernah mengizinkan masuknya kedua orang itu. Kedua Malaikat itu segera duduk di dekat Daud dan berkata: Jangan takut hai Daud, kami ini dua orang bersaudara yang bertentangan satu sama lain. Maka berilah kami hukuman yang benar, atas pertentangan dan perselisihan kami, tetapi jangan dihukum dengan cara yang tidak adil. Tunjukilah kami kepada jalan yang sebaik baiknya. Daud tidak dapat menolak perkara yang sudah ada dihadapannya itu, sekalipun hari itu bukan harinya perkara. Dia bersiap untuk menjatuhkan putusan hukum terhadap dua orang yang berselisih itu. Setelah mendengarkan keterangan keterangan yang diperlukan dalam perkara ini, akhirnya seorang diantara kedua orang itu berkata kepada Daud: Saudara saya ini mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing dan saya hanya mempunyai seekor kambing. Tetapi saudara saya ini menuntut kepada saya untuk mengambil kambing saya itu, agar kambingnya genap menjadi seratus, sedang saya tak mempunyai kambing sama sekali. Tuntutan ini sudah beberapa kali saya tolak, tetapi dia membantah dengan kata kata yang fasih, sehingga saya kalah tentang kefasihannya itu. Setelah mendengarkan itu semua, Daud lalu menghadapkan mukanya kepada yang seorang lagi dan bertanya kepadanya tentang duduk perkara yang sebenarnya. Orang itu menjawab, bahawa memang dia sudah mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing dan lagi seekor kepunyaan saudaranya itu, agar cukup kambingnya berjumlah seratus ekor. Mendengar keterangan itu, merah padamlah muka Nabi Daud kerana marahnya; dengan badan gementar dan suara yang keras, dia berkata kepada orang yang menuntut itu: Tuntutanmu itu tidak baik, kalau engkau tetap menuntut begitu, akan kami pukul dahi dan hidungmu itu. Baru saja Daud berkata demikian Malaikat itu berkata: Engkau seharusnya yang lebih baik dipukul, sebab engkau sudah mempunyai sembilan puluh sembilan orang isteri, lantas mengambil isteri Oria bin Hannan yang hanya mempunyai isteri seorang itu saja. Mendengar kata kata yang terang dan tepat itu, Nabi Daud tunduk kepalanya, gementar badannya, terbuka kepadanya hakikat keadaan yang dihadapinya itu, bahawa yang dihadapinya itu adalah dua orang Malaikat yang diutus Allah untuk membetulkannya dan menunjukinya. Daud lalu tunduk dan sujud minta ampun kepada Tuhan, atas kekeliruannya, Allah segera memberi ampun dan taubat buat Daud, dengan berkat petunjuk petunjuk dan peringatan peringatan dari Allah Taala. Tuhan memperlihatkan kepada manusia dan Daud sendiri, bahawa baik soal kecil apa lagi soal besar, tetap diperhatikan oleh Allah. Bukan saja terhadap manusia biasa, tetapi juga terhadap orang orang pilihan Allah, Nabi nabi Mulia dan Rasul rasul yang Suci, dengan tidak diperbezakan sedikitpun antara Nabi dan manusia biasa, antara raja dan rakyat biasa. Hanya bezanya, para Nabi itu senantiasa dapat menerima ajaran Allah dan menjalankannya dengan baik dan patuh, sedang manusia biasa kadang kadang engkar dan tidak ambil peduli semua petunjuk yang baik baik itu. Berbagai bagai pendapat telah dikemukakan para ahli tafsir mengenai cerita perkahwinan Nabi Daud dengan Sabiq ini. Ada yang mengatakan bahawa Nabi Daud mengahwininya setelah yakin bahawa suaminya telah lama mati di medan perang. Pendapat yang lain mengatakan pula bahawa setelah suami Sabiq hilang tanpa berita demikian lama, maka di anggaplah talaknya telah gugur, barulah dikahwini Nabi Daud. Ada juga yang mengatakan bahawa peraturan zaman itu tidak melarang seorang lelaki melamar seorang perempuan yang telah bersuami asalkan si perempuan itu ingin kepada lelaki yang melamarnya, lalu di mintakan fasakhnya. Bahkan ada pula para mufassir yang menolak sama sekali berita perkahwinan Nabi Daud dengan Sabiq itu dan dianggap berita itu sebagai cerita cerita dongeng israeliyat yang tak patut dipercayai juga. |
| |
No comments:
Post a Comment